GRO sewa suami | Isteri Tetak Suami | Calon BN Kerdau

Usah terlalu yakin


TEMERLOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta jentera pilihan raya kecil Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau tidak terlalu yakin dan memandang remeh kekuatan parti lawan.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, seluruh jentera perlu bekerja keras sekalipun DUN berkenaan dilihat sebagai kubu kuat BN dengan lebih 50 peratus pengundi di kawasan itu terdiri daripada kalangan anggota Umno.
“Kami tidak mahu terlalu yakin dan takbur, walaupun keadaan semuanya baik.

“Kami juga perlu ingat bahawa pengundi adalah raja dan mereka yang tentukan sama ada menyokong atau tidak. Waktu inilah, kami mesti menunjukkan kemesraan, keprihatinan, kesediaan menolong mereka dalam menghadapi masalah,” katanya selepas majlis pengumuman calon BN bagi pilihan raya kecil itu di Dataran Sri Ketumbit, dekat sini, semalam.

Muhyiddin sebelum itu mengumumkan Naib Ketua Umno bahagian Kuala Krau Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar Pahang sebagai calon BN pada pilihan raya kecil berkenaan.
DUN Kerdau Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, pada 12 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Feb ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pula pada 6 Mac.

Muhyiddin berkata terdapat 8,999 pengundi di DUN berkenaan, dengan 4,920 pengundi terdiri daripada kalangan anggota Umno.

“Kami yakin Syed Ibrahim calon terbaik, calon yang boleh diterima, yang bukan saja boleh menang tapi boleh cemerlang,” katanya.

Beliau berkata menjadi cabaran kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya BN, mendapat keputusan cemerlang berbanding keputusan pada pilihan raya umum 2008.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.


Isteri baran tetak suami

IPOH: Sikap cemburu buta dan panas baran melampau seorang isteri menyebabkan dia hilang pertimbangan sehingga sanggup menetak suaminya dengan pisau menyebabkan lelaki itu terpaksa menerima 15 jahitan di tangan kiri selepas berlaku perselisihan faham di rumah mereka di sini, Jumaat lalu.

Lebih malang, tetakan menggunakan pisau pemotong sayur itu menyebabkan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 31, dari Kuala Kangsar, putus urat lengan kiri menyebabkan tiga jarinya tidak dapat digerakkan. 
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam di Taman Pinji Ria, Pengkalan di sini, mangsa bersama isterinya yang juga seorang jururawat sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum isterinya tiba-tiba mengamuk dan menyerangnya dengan pisau.

Ahmad yang juga seorang juruteknik berkata, sebelum itu, isterinya menjawab panggilan daripada sepupu wanitanya dan mereka berbual mengenai sesuatu mengenai dirinya.

Katanya, dia tidak pasti apa mereka bualkan, namun yakin perbualan itu menaikkan kemarahan isterinya.
“Berdasarkan perbualan telefon itu, sepupu memaklumkan kepada isteri, saya seorang kaki perempuan dan pernah membawa balik perempuan ke rumah ketika bujang dulu.

“Seketika kemudian, saya mengambil telefon daripada isteri dan bercakap dengan sepupu. Saya bertanya kepadanya apa dibualkan dengan isteri, namun dia (sepupu) menafikan dakwaan itu,” katanya.

Katanya, sebaik menamatkan perbualan, dia bersandar pada sofa sebelum isteri muncul di hadapannya sambil memegang sebilah pisau dan terus menetak lengannya.
Menurutnya, isterinya cuba menetak pada muka dan kepalanya, namun dia sempat menahan dengan tangan kiri sehingga menyebabkan pendarahan teruk.

“Isteri menjerit ‘abang sudah melampau’ sebelum menetak saya dengan pisau. Saya cuba keluar untuk mendapatkan pertolongan, namun isteri mengunci pintu rumah dan menghalang saya keluar.

“Saya sempat mengambil kunci pendua rumah dan telefon bimbit sebelum membuat panggilan ke talian 999 untuk meminta bantuan polis dan ambulans,” katanya.

Ahmad berkata, dia dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dengan sebuah kereta peronda polis untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Saya mengakui isteri seorang yang baran dan cemburu buta. Malah, rumah tangga kami sering berdepan masalah selepas hidup bersama sejak 11 bulan lalu.

“Kami sering bergaduh, namun saya tetap sayangkannya dan berdoa agar dia memperbaiki sikapnya itu. Pernah satu ketika, saya disepak terajang dan dimaki hamun, tetapi saya reda dengan perbuatannya itu,” katanya.

Menurutnya, dia juga terkilan kerana isterinya tidak pernah menjenguknya di hospital sepanjang menerima rawatan walaupun bertugas di hospital sama.

Ditanya sama ada dia akan menceraikan isterinya, Ahmad berkata, insiden itu tidak melunturkan rasa sayangnya kepada isteri, malah mahu memberi peluang kepada isterinya untuk berubah.

“Penceraian bukan penyelesaian, sebaliknya saya mahu insiden yang menimpa saya memberi pengajaran kepada masyarakat di luar sana sekali gus menginsafkan isteri saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh, petang semalam.

Katanya, pihaknya sedang menyiasat kes itu kerana isteri mangsa turut membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh sebelum ini.

GRO sewa suami RM1,000 sebulan

KUALA LUMPUR: Segelintir warga emas tempatan kini sanggup merancang perkahwinan palsu atau menjadi suami sewa semata-mata untuk mendapatkan ganjaran wang bulanan yang dikutip daripada isteri warga asing.
Kebanyakan lelaki yang diistilahkan sebagai suami boneka ini, berpura-pura berkahwin dan mendaftar perkahwinan terbabit dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan isteri warga asing terutama dari China tinggal lebih lama di negara ini untuk menjalankan kegiatan sebagai pelacur atau pelayan pelanggan (GRO) sepenuh masa.
Sumber Jabatan Imigresen berkata, bilangan pasangan suami isteri kahwin olok-olok terbabit dikesan bertambah selepas pihaknya menjalankan siasatan dan mendapati kebanyakan suami warga tempatan dibayar RM300 hingga RM1,000 sebulan oleh isteri dikahwini itu.

Menurutnya, kebanyakan wanita warga asing itu menjadikan perkahwinan dengan warga tempatan sebagai lesen untuk menjalankan kegiatan maksiat di negara ini tanpa bimbang diberkas pihak berkuasa atau dihantar pulang ke negara asal.

“Pelacur atau GRO yang ditahan biasanya akan memberi alasan sudah berkahwin dengan lelaki tempatan melalui prosedur sah membolehkan mereka diikat jamin suami masing-masing.
“Bagaimanapun, pasangan ini biasanya tidak tinggal serumah sebaliknya si suami akan muncul sekiranya wanita warga asing terbabit menghadapi masalah atau ingin memperbaharui pas lawatan isteri yang perlu dibuat setiap tahun dengan bayaran RM90 setahun,” katanya.

Beliau berkata, mengikut undang-undang imigresen, wanita yang berkahwin dengan lelaki tempatan dibenarkan tinggal di negara ini menggunakan pas lawatan itu. Bagaimanapun, mereka boleh memohon untuk menjadi warga negara selepas lima tahun bermastautin di Malaysia.

“Jika permohonan mereka diluluskan JPN, wanita terbabit akan diberikan kad pengenalan merah. Bagaimanapun, proses terbabit bukan mudah dan tidak semua akan dibenarkan menjadi warga negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata pihaknya menyedari taktik digunakan wanita warga asing terbabit terutama membabitkan GRO atau pelacur kelas atasan warga China.

Menurutnya, lelaki tempatan terbabit seolah-olah dijadikan hamba duit oleh wanita warga asing itu apabila dijanjikan dengan habuan wang bulanan sekiranya setuju nama mereka dipinjamkan.

Menurutnya, agak menghairankannya apabila ada antara lelaki warga emas yang datang ke pejabatnya membuat aduan mendakwa ditipu atau kehilangan isteri warga asing berusia jauh lebih muda berusia 20 hingga 30 tahun.

“Selain itu, ada wanita warga asing yang datang menemui saya dan mendakwa suami masing-masing enggan melanjutkan tempoh visa penginapan di negara ini dengan pelbagai alasan mencurigakan.

“Namun, masalah diadukan itu mempunyai agenda tersirat apabila si suami hanya mahu mencari isteri warga asing dikahwini berikutan tidak mendapat wang bulanan dijanjikan manakala si wanita pula mencari suami tempatan berikutan tempoh visanya hampir tamat,” katanya.

Katanya, pasangan suami isteri itu terbukti merancang perkahwinan palsu apabila majoriti mereka tidak mempunyai cahaya mata, malah tidak mempunyai alamat rumah yang membuktikan mereka tinggal sebumbung.

Menurutnya, perkahwinan itu biasanya diatur orang tengah yang berperanan mendapatkan suami tumpang untuk gadis asing ini yang meletakkan syarat khas berbentuk imbuhan bulan.

“Mungkin perkahwinan pasangan ini didaftarkan secara sah, namun hakikatnya ia hanya topeng untuk melindungi gadis atau wanita terbabit yang menjalankan aktiviti maksiat di negara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment