Pelakon Gengster | Derita Anak Kecil | Digilis Pembajak


Rakan pelakon ugut bunuh

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon drama popular ditahan polis semalam selepas menyerah diri berhubung kes mengugut dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat mengenai perkahwinan keduanya menggunakan sindiket nikah palsu.
Pelakon lelaki berusia 43 tahun itu pernah mencetuskan kontroversi dalam industri hiburan tanah air apabila gambar intimnya bersama seorang pelakon wanita tersebar di Internet. Menurut sumber polis, pelakon terbabit bersama tiga rakannya berusia 30-an mengugut dua pegawai penyiasat SPRM berkenaan, Isnin lalu.

“Menyedari kesalahannya selain yakin dia diburu pihak berkuasa, pelakon itu tampil menyerah diri di Balai Polis Kepong kira-kira jam 10 pagi (semalam) sebelum dia ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, pelakon terbabit sebelum ini dipanggil SPRM untuk membantu siasatan satu sindiket pernikahan palsu didalangi seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan empat lelaki lain berikutan dia menggunakan khidmat sindiket itu untuk pernikahan keduanya.

Sumber itu berkata, pertemuan pelakon terbabit dengan dua pegawai SPRM yang mahu mengambil keterangannya diadakan di sebuah kafe di Danau Kota, di sini, kira-kira jam 11.20 malam Isnin lalu.

“Sebaik pelakon itu dan tiga rakannya masuk ke kafe berkenaan, seorang daripada rakannya memperkenalkan diri sebagai ‘Abang Joe’ dan mendakwa dia pegawai khas Ketua Polis Negara.
Abang Joe mengarahkan dua pegawai SPRM berkenaan menghentikan siasatan ke atas pelakon itu. Apabila dua pegawai SPRM itu bertegas untuk meneruskan siasatan, Abang Joe mengugut dengan mengatakan akan membunuh mereka,” katanya.

Menurutnya, Abang Joe turut mengugut mahu menembak kedua-dua pegawai itu sehingga mati jika permintaannya tidak dipenuhi. “Selain itu, Abang Joe memberitahu dia boleh memerangkap dua pegawai SPRM berkenaan dengan meletakkan dadah dalam rumah atau kenderaan mereka supaya pegawai itu ditahan polis.

“Malah, Abang Joe mendakwa dia sanggup mati semata-mata bagi memastikan SPRM tidak meneruskan siasatan terhadap pelakon terbabit,” katanya.

Sumber itu berkata, pelakon terbabit dan tiga rakannya meninggalkan kafe berkenaan sebelum kedua-dua pegawai penyiasat SPRM itu membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Wangsa Maju, di sini.

Menurutnya, pelakon terbabit direman lima hari bermula semalam dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan penahanan pelakon terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak akan tunduk pada ugutan, tohmahan dan fitnah mana-mana pihak yang cuba menjejaskan siasatan sesuatu kes rasuah.

“Ini sebahagian cabaran yang perlu kami hadapi. Dalam kes sebegini, SPRM akan serahkan kepada polis mengambil tindakan sewajarnya.

“Kami akan teruskan siasatan sindiket pernikahan palsu itu,” katanya.

PRK DUN Kerdau, Merlimau: Undian serentak

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai hari penamaan calon dan 6 Mac hari pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Pahang, sama tarikh dengan pilihan raya kecil DUN Merlimau.
Perkara itu diumumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam sidang media di Hotel Hilton, malam tadi.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan diadakan bersama pegawai SPR selama sejam bermula jam 9 malam tadi.

“Bagi tujuan menjalankan pilihan raya kecil N28 Kerdau, Pahang, SPR yang bermesyuarat pada hari ini (semalam) bersetuju melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dan tiga penolong pegawai pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan.

“Bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR juga bersetuju menubuhkan tiga pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) yang diketuai seorang pegawai penguat kuasa bagi setiap pasukan,” katanya.

Beliau berkata, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Datuk Tarif Abdul Rahman dilantik Pegawai Pengurus Pilihan Raya manakala Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya ialah Pegawai Penilaian MPT, Yuzairy Hafiz Muhamad Yusuf serta dua Pegawai Perancang Bandar MPT, iaitu Mokhtar Abdul Mubin dan Nor Akhiruddin Mohamad Nazri.

Katanya, SPR akan menggunakan Dewan Tun Razak MPT sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Sebanyak 10 sekolah, dua balai raya dan sebuah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 22 saluran tempat mengundi.

“Seramai 242 petugas akan dilantik mengendalikan proses pilihan raya ini dengan anggaran belanjawan RM915,000.

“Daftar pemilih yang akan digunakan untuk pilihan raya kecil ini adalah daftar induk 2009 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2010, suku tahun kedua 2010 dan suku tahun ketiga 2010.

“Berdasarkan daftar yang dikemaskini sehingga 12 Februari lalu, seramai 8,999 pemilih berdaftar terdiri daripada 8,984 pemilih biasa dan 15 pengundi pos,” katanya.

Derita anak kecil

KUALA LUMPUR: “Sayu hati saya apabila melihat keadaannya yang sebelum ini ceria kini menderita kerana terpaksa bertarung nyawa berikutan parah di kepala sejak 10 bulan lalu.

“Doktor beritahu masa depannya masih kabur dan kemungkinan tidak akan menjadi normal seperti kanak-kanak lain,” kata Rina Abdul Halim, 30, mengenai anaknya, Sheena Mohamad Safwan, 18 bulan.
Bayi perempuan itu kini menderita dan masih dirawat selepas mengalami pendarahan otak serius dan patah kaki dipercayai didera pengasuhnya ketika berusia enam bulan.

Kejadian itu menyebabkan bayi terbabit menjalani beberapa pembedahan bagi mengeluarkan darah beku di dalam otak, selain terlantar beberapa bulan di hospital.
Rina berkata, tragedi berkenaan berlaku selepas dia menghantar anak ketiganya itu ke rumah pengasuh di Mantin, Negeri Sembilan, pada April tahun lalu.

Menurutnya, ketika dihantar ke rumah pengasuh terbabit, Sheena sihat sebelum dia pergi bekerja di ibu kota menaiki komuter dari Seremban.
“Bagaimanapun, pada hari kejadian, saya tidak dapat mengambil Sheena berikutan komuter mengalami masalah sebelum meminta suami mengambil anak saya itu di rumah pengasuh kira-kira jam 5 petang.

“Pengasuh terbabit menghubungi kami supaya mengambil Sheena lebih awal dengan alasan hendak membuat persediaan menyambut hari jadi anaknya. Dia mempunyai dua anak perempuan berusia 12 bulan dan tujuh tahun,” katanya.

Menurutnya, dia yang tiba di rumah mula bimbang keadaan Sheena kerana asyik merengek serta menangis bahkan ada ketikanya mengalami kesukaran bernafas. “Saya yang menyangkakan anak kembung perut membawanya ke klinik dan doktor menyatakan mungkin dia tidak selesa kerana demam. “Namun, sebaik dibawa pulang, saya mula perasan terdapat bengkak pada pahanya sebelum membawanya semula ke klinik. Bagaimanapun, Sheena terpaksa dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, selepas keadaannya makin kritikal,” katanya.

Rina berkata, ketika di wad kecemasan, dia memberitahu doktor bertugas supaya berhati-hati sebelum menceritakan apa yang berlaku. “Namun segalanya terjawab apabila ujian X-ray mendapati paha anak saya patah dan bengkak di kepalanya kian ketara. Melihatkan itu, saya menghubungi pengasuh terbabit dan bertanyakan hal sebenar.

“Dia bagaimanapun memberitahu tiada apa yang berlaku serta tidak tahu punca kecederaan anak saya. Sheena kemudian dimasukkan ke wad kanak-kanak, ” katanya.
Namun, katanya, tidak lama kemudian bayinya tiba-tiba tidak sedarkan diri dan doktor memberitahu anak diserang sawan tiga kali ketika dirawat.

“Melihat keadaan anak saya bertambah serius, doktor mengesyaki sesuatu lalu mengarahkan dilakukan CT Scan dan keputusan menunjukkan anak saya mengalami pendarahan dalam otak.
“Sebaik mendengar khabar itu, saya bagaikan hilang arah apatah lagi memikirkan nyawa anak saya seolah-olah seperti telur di hujung tanduk. Sheena kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum pembedahan dilakukan pakar neurologi.

“Susulan itu, anak saya terlantar beberapa minggu di hospital berkenaan dan sebanyak enam pek darah beku dikeluarkan dari kepalanya. Pakar mata turut mengesahkan anak saya mengalami pendarahan di kedua-dua matanya,” katanya.

Rina berkata, berdasarkan laporan perubatan, doktor mengesyaki kecederaan anaknya berkemungkinan akibat digoncang dengan kuat (sindrom menggoncang bayi).

“Bagaimanapun, doktor tidak dapat memastikan bagaimana kaki Sheena boleh patah berikutan dia masih bayi dan belum boleh merangkak dan berjalan. “Kakinya yang patah dipakaikan hip-spica (menggunakan gentian kaca) selama hampir enam minggu. Untuk itu, saya terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama empat bulan untuk menjaga anak saya itu,” katanya dengan nada sebak.

Menurutnya, dia kini masih perlu berulang-alik ke HKL dan Hospital Tuanku Jaafar, bagi mendapatkan rawatan bayinya.
Dia yang membuat laporan polis berhubung kes terbabit bagaimanapun pelik apabila belum ada tindakan undang-undang diambil walaupun sudah berulang kali mendapatkan penjelasan.

“Saya mahukan keadilan terhadap nasib bayi saya. Penderitaan Sheena terlalu teruk dan saya tidak boleh memaafkan apa yang berlaku begitu sahaja. Saya yakin polis mampu merungkai apa yang berlaku dan membawa individu yang bersalah ke muka pengadilan,” katanya.

Digilis Pembajak

MACHANG: “Saya sepatutnya mengambil dia di kawasan membajak kira-kira 200 meter dari tempat berehat untuk keluar makan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya terkejut apabila mendapati dia dalam keadaan parah akibat tersepit pada traktor berkenaan,” kata Mohd Arif Aladin, 20, rakan Asmadi Mamat, 49, yang maut akibat terjatuh dari traktor sebelum digilis jentera pembajak itu ketika melakukan kerja meratakan baja tanaman tembikai di Kampung Wek dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat
kecederaan parah.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang juga Penghulu Mukim Banggol Pak Awang, Kampung Joh, dekat sini, dikatakan cuba menguis guni baja yang kosong menggunakan kaki kanan ketika mengendalikan jentera itu.
Tindakannya menyebabkan dia terjatuh sebelum kaki kanannya terlekat pada tayar belakang, manakala dada dan kepalanya tercucuk bilah pembajak traktor berkenaan.

Menurut Mohd Arif, mangsa mula melakukan kerja meratakan baja di kawasan itu sejak Selasa lalu.
Katanya, sudah menjadi kebiasaannya untuk mengambil mangsa di kawasan itu sebelum mereka makan tengah hari bersama berikutan tempat itu agak terpencil.

“Seperti biasa, saya pergi mengambilnya dengan menunggang motosikal. Apabila sampai, saya tidak melihatnya di atas traktor dan terkejut apabila ternampak kaki kanannya melekat pada tayar belakang dan keadaannya parah

“Panik melihat keadaannya, saya bergegas ke tempat rakan di kawasan rehat untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya.
Dia dan rakannya kemudian menghubungi bomba dan polis bagi membantu mengeluarkan mangsa sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Machang (HM).

Seorang anak mangsa, Mazri Afandi, 22, berkata dia terkejut apabila diberitahu mengenai kejadian itu sebelum bergegas ke HM.
Katanya, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi sering mengadu pening kepala sejak beberapa hari lalu.

“Ayah juga sempat berpesan supaya segera menyiapkan bangsal di depan rumah bagi persiapan kenduri kahwin kakak, (Azlina, 24,) bulan depan.
“Namun, tidak sangka itu pesanan terakhir selain tidak sempat melihat kakak yang juga anak sulung diraikan dalam majlis perkahwinan itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malik Bedot, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

No comments:

Post a Comment