Rayu 7 Kena 20 | Peragut Terbunuh | Pemain Perlis Dituduh Cabul

Jel 7 tahun jadi 2 dekad

SHAH ALAM: “Kes ini amat mengejutkan negara di mana empat orang dibunuh dalam satu kejadian. “Mana-mana orang pun akan bersetuju hukuman penjara lima tahun tidak memadai,” kata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohtarudin Baki pada semakan kehakiman yang menyaksikan dua pekerja ladang menerima hukuman penjara 20 tahun akibat melupuskan bukti pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, semalam.

Mohtarudin membuat keputusan terhadap K Sarawanan, 20, serta U Suresh, 27, dan memerintahkan hukuman terhadap mereka berjalan mulai tarikh mereka ditangkap iaitu pada 9 dan 12 September tahun lalu.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu selepas menolak rayuan difailkan Sarawanan, tetapi pada masa sama membenarkan semakan kehakiman difailkan pihak pendakwaan terhadap kedua-dua lelaki itu.

Kedua-duanya yang hadir dengan memakai pakaian penjara berwarna merah hati tergamam dengan keputusan berkenaan.
Pada 15 Oktober tahun lalu, Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap Sarawanan dan Suresh yang mengaku bersalah atas empat pertuduhan melupuskan bahan bukti pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain.

Tiga individu lagi ialah pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsudin, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad.

Bagi setiap kesalahan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan, kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman penjara maksimum iaitu tujuh tahun.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula tarikh tangkapan.

Mereka antara lapan yang ditahan antara 9 dan 12 September lalu bagi membantu siasatan berikutan laporan kehilangan Sosilawati pada 30 Ogos tahun lalu.

Sarawanan mengaku menghilangkan bukti itu dengan membakar mayat Sosilawati, 47, Noorhisham, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan Kamaruddin, 44, manakala rakannya itu mengaku membuang abu mayat mangsa.

Sarawanan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi, di sini, pada 26 Oktober tahun lalu, bagi mengenepikan sabitan dan hukuman terhadap kesalahan itu dengan alasan pengakuannya dibuat bukan secara sukarela.

Pada masa sama, mahkamah memutuskan satu semakan kehakiman dibuat terhadap keputusan Majistret Teluk Datok, Hurman Hussain berikutan aduan awam terhadap pengendalian kes itu.

Dalam keputusannya semalam, Mohtarudin memutuskan Hurman terkhilaf ketika menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun secara serentak terhadap Sarawanan dan Suresh atas empat pertuduhan melupuskan mayat mangsa dalam kes pembunuhan itu.

Justeru, katanya, mahkamah memutuskan untuk menggantikan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Telok Datok itu kepada penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, pihaknya berpendapat kesalahan tertuduh melupuskan bahan bukti itu untuk melindungi kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 yang membawa hukuman mati mandatori amat serius.

“Oleh itu, mahkamah perintahkan hukuman lima tahun itu dijalankan berturut-turut (berasingan) dari tarikh tangkapan,” katanya.

Sementara itu, berhubung rayuan Sarawanan, Mohtarudin berkata, mahkamah menolak hujahan peguam mewakili lelaki itu kerana secara keseluruhan mendapati ia ‘pemikiran semula’.

Beliau berkata, afidavit dikemukakan perayu adalah tohmahan keterlaluan terhadap peguam, jurubahasa dan majistret yang mengendalikan kes itu di Mahkamah Majistret Teluk Datok.

Katanya, hujahan peguam bahawa Sarawanan tidak ditunjukkan gambar mangsa bunuh tidak dapat diterima kerana ia bukan penting terhadap pertuduhan.

“Hujahan lain dianggap remeh seperti jurubahasa Tamil tidak menerangkan pertuduhan, sifat dan akibat pengakuan serta fakta kes tidak diterangkan terhadap tertuduh.

“Tiada aduan ketika prosiding bahawa jurubahasa itu tidak dapat menguasai bahasa Tamil atau sebagainya,” katanya.

Mohtarudin berkata, berdasarkan alasan itu, mahkamah memutuskan untuk menolak rayuan dan sabitan serta mendapati tiada penyalahgunaan proses mahkamah sepanjang pengendalian kes itu di Mahkamah Majistret.


Pemain Perlis dituduh cabul

SUNGAI PETANI: Seorang pemain bola sepak Perlis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tiga tuduhan mencabul kehormatan dan mencederakan seorang gadis berusia 17 tahun pada 13 Februari lalu.

Bagaimanapun, pemain pertahanan Singa Utara itu, Muhammad Munawwar Shavukath Ali, 21, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa di sebuah rumah kosong bernombor 533, Jalan Taman Batik di sini, antara jam 3.30 hingga 5.30 petang pada 13 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum tujuh tahun penjara dan denda.
Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Munawwar dituduh mencabul kehormatan gadis berkenaan dengan cara meraba dan menghisap buah dada mangsa.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun.
Sementara bagi pertuduhan ketiga, Muhammad Munawwar didakwa menyuruh mangsa melakukan seks oral pada tarikh, masa dan tempat sama.
Tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan kelucahan melampau dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun.
Sebelum itu, Raja Shahril Anuar mengarahkan tertuduh mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 bagi kes pertama manakala RM7,000 kes kedua dengan seorang penjamin.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Saw Sin manakala tertuduh diwakili peguambela, T Jayaraj. Sebutan semula kes berkenaan pada 21 Mac depan.

Peragut terbunuh

AMPANG: Seorang peragut yang kelam-kabut melarikan diri sejurus meragut beg tangan seorang wanita, terbunuh manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki merempuh kereta mangsa yang ketika itu nekad mengejar penjenayah terbabit di Taman Mega Jaya, Bukit Teratai di sini, semalam.

Tindakan berani arkitek wanita berusia 28 tahun yang juga anak bekas pegawai polis itu membuatkan dua lelaki terbabit panik sehingga mereka masuk ke laluan jalan mati di taman berkenaan sebelum berpatah balik dan merempuh kereta mangsa yang mengejar mereka.

Akibatnya, kedua-dua lelaki terbabit terpelanting ke longkang menyebabkan seorang daripada mereka maut di tempat kejadian selepas kerandut zakarnya pecah, manakala rakannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa sedang bersiap ke tempat kerja dan sejurus keluar dari kereta untuk menutup pintu pagar, dua lelaki terbabit meragut beg tangannya yang diletak di tempat duduk hadapan.

Mangsa cuba melawan, tetapi dia ditendang sehingga terjatuh.
Sebaik melihat mangsa terjatuh, kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri, namun mangsa yang berang mengejar suspek.

Mangsa yang sudah biasa dengan laluan di kawasan itu memberhentikan keretanya di persimpangan jalan kira-kira 200 meter dari rumahnya selepas melihat lelaki terbabit melalui jalan mati.

Ketika itulah, lelaki yang panik berpatah balik dan memecut laju motosikal berikutan laluan terbabit agak berbukit sebelum mereka merempuh kereta mangsa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan suspek terpelanting dan tercampak ke longkang.

“Kedua-dua suspek berkenaan warga Indonesia dan lelaki yang mati itu berusia 35 tahun manakala rakannya yang parah berusia 24 tahun.

“Siasatan polis mendapati, suspek menggunakan motosikal curi dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun dan Seksyen 41 (1) A Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mahyudin Zakaria, 59, berkata, dia hanya menyedari anaknya diragut apabila terdengar jeritan di luar rumah.

Katanya, dia yang bimbang sesuatu berlaku ke atas anaknya bergegas ke luar rumah dan melihat anaknya tergesa-gesa menaiki kereta lalu mengejar lelaki terbabit.
“Saya mengekori anak dengan menaiki kereta kerana bimbang keselamatannya.

“Bagaimanapun, ketika tiba di tempat kejadian, saya melihat suspek sudah berada di dalam longkang dan mengalami kecederaan parah akibat merempuh kereta anak yang berhenti di simpang jalan,” katanya.

Suspek samun maut bertembung dengan kereta mangsa

KUALA LUMPUR: Seorang suspek samun maut, manakala rakannya cedera parah apabila motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta dipandu oleh mangsa yang disamun mereka.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kejadian berlaku di Taman Mega Jaya, Ampang Jaya di sini kira-kira 8.50 pagi tadi.

Katanya, suspek yang berumur 34 tahun mati di tempat kejadian akibat cedera parah dan dihantar ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat, manakala rakannya berusia 28 tahun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital yang sama.
Beliau berkata, kedua-dua suspek lelaki warganegara Indonesia.

Amiruddin berkata, kedua-dua suspek dilaporkan menyamun beg tangan mangsa, seorang wanita berumur 28 tahun yang diletakkan di tempat duduk hadapan keretanya yang dipakir di luar rumah ketika mangsa sedang menutup pintu pagar untuk keluar bekerja pada 8.40 pagi.

Melihat tindakan dua suspek itu, mangsa cuba merampas balik beg tangannya tetapi ditendang oleh suspek yang terus melarikan diri dan mangsa mengejar suspek dengan memintas mereka di sebuah simpang, kira-kira 200 meter dari rumah mangsa, tambahnya.

Beliau berkata, suspek yang datang dari arah bertentangan, hilang kawalan dan motosikalnya merempuh kereta mangsa yang berhenti di hadapan mereka, menyebabkan kedua-dua suspek tercampak ke dalam longkang di tepi jalan.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati suspek menggunakan motosikal curi dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan Seksyen 41(1)A Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menaiki motosikal curi.

Mangsa kes samun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihak polis telah mengambil keterangan darinya, katanya yang turut memuji tindakan pantas orang ramai untuk melaporkan kejadian itu.-Bernama

No comments:

Post a Comment