Penangan getah mahal | Mangsa ragut maut | Mayat tercampak 500meter

Barang2 yang dirampas daripada wanita terbabit.
Beratur panjang dalam kebun
SEGAMAT: Harga getah yang melambung tinggi turut menyumbang kepada aktiviti maksiat apabila ada pelacur memindahkan operasi mereka ke stor usang di tengah kebun getah di pekan Jementah, di sini, untuk menawarkan khidmat seks kepada penoreh getah.


Kegiatan itu terbongkar apabila polis menahan seorang wanita warga Indonesia diberi gelaran Nina Montok yang menawarkan pakej semurah RM50 untuk sekali langganan menyebabkan penoreh getah tempatan dan warga asing berkunjung ke stor itu tanpa mengira waktu.
Tanpa segan silu, segelintir penoreh getah yang kemaruk seks beratur panjang menunggu giliran dan pada masa sama menyaksikan tayangan percuma rakan melakukan seks bersama wanita berusia 20-an itu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abd Majid Mohd Ali, berkata Nina Montok dipercayai menawarkan khidmat seks di kebun getah itu sejak beberapa hari lalu sebelum ia berakhir apabila polis menyerbu lokasi terbabit pada jam 10 malam kelmarin.

“Ketika serbuan, wanita itu melayan seorang pelanggan manakala lima lelaki membabitkan dua warga tempatan dan tiga warga asing berada di tepi pondok berkenaan dipercayai menunggu giliran.

“Kedua-dua lelaki tempatan terbabit yang berusia 42 dan 51 tahun serta semua warga asing yang berusia 22 hingga 40 ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati Nina Montok turut menghantar SMS secara rawak kepada beberapa penoreh getah di kebun berkenaan untuk mempromosi khidmat seksnya.

Abd Majid berkata, polis turut menemui tiga peket kondom yang belum digunakan di dalam beg tangan wanita itu, telefon bimbit dan selain wang RM394 dipercayai hasil kegiatan pelacuran.

“Pemeriksaan mendapati wanita itu masuk ke negara ini secara sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Wanita pergi kerja mati
JOHOR BAHRU: Seorang tukang cuci maut apabila tiga lelaki yang menunggang motosikal menghimpit motosikal diboncengnya dalam satu cubaan meragut di Jalan Skudai-Jalan Tun Razak di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, R Alamelu, 52, mati di tempat kejadian selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggang adik iparnya, D Ganesh, 36.

Ketika kejadian, Ganesh dalam perjalanan menghantar mangsa ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Ibrahim untuk berjumpa suaminya yang menaiki kenderaan berasingan sebelum mereka bersama-sama ke Singapura untuk bekerja.

Difahamkan, Ganesh menyedari diekori sekumpulan lelaki dipercayai warga asing sebelum membelok ke stesen minyak di Jalan Padi, Bandar Baru Uda.

Bagaimanapun, ketiga-tiga lelaki itu terus menghimpit motosikal ditunggangnya sebelum seorang daripada mereka cuba menarik beg pinggang dipakai mangsa.
Tindakan itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan raya menyebabkan ketiga-tiga lelaki terbabit melarikan diri tanpa dapat meragut beg pinggang mangsa.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Kamil, 30-an berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan raya menyebabkan pengguna jalan raya lain memperlahankan kenderaan.

“Pada awalnya saya menyangka ia hanya kemalangan biasa. Bagaimanapun, saya hanya mengetahui ia cubaan ragut selepas dimaklumkan mangsa. Ada pengguna jalan raya cuba mengejar tiga peragut itu tapi gagal,” katanya.

Menurut Kamil, pada waktu puncak, dianggarkan lebih 30,000 penunggang motosikal akan ke Tambak Johor melalui Jalan Skudai dan ketika itulah ada di kalangan peragut mengambil kesempatan menjalankan kegiatan.

“Kami berharap polis mengambil perhatian berkaitan perkara ini dan lebih kerap mengadakan sekatan jalan serta rondaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti sama ada kes berkenaan benar-benar membabitkan kejadian ragut.

“Berdasarkan siasatan awal, barangan milik mangsa gagal dilarikan penjenayah, ada kemungkinan mangsa maut akibat serangan jantung.

“Polis akan mengambil keterangan dan menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan kejadian. Mayat mangsa juga sudah dihantar ke Hospital Sultan Ibrahim (HSI) untuk bedah siasat,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil membantu siasatan.

Dua kemuka borang pencalonan PRK DUN Merlimau
JASIN: Dua calon, seorang dari Barisan Nasional (BN) dan seorang lagi dari PAS mengemukakan kertas pencalonan mereka sebelum tempoh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau di Dewan Platinum Politeknik Merlimau dekat sini, ditutup pada pukul 10 pagi.


Mereka mengemukakan borang pencalonan masing-masing kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Eusoff dalam tempoh sejam proses itu berlangsung sejak 9 pagi ini.

Calon BN, Roslan Ahmad, 44, dilihat memasuki dewan tersebut untuk menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.09 pagi, manakala calon PAS Yuhaizad Abdullah, 38, pada 9.02 pagi.

Cuaca cerah di pusat penamaan itu melancarkan proses penamaan calon pagi ini.
Sebelum itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiringi calon BN bersama ribuan penyokong ke pusat penamaan calon itu.

Turut mengiringi Ketua Menteri Melaka yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil BN DUN Merlimau, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas; Presiden MIC Datuk G Palanivel dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa mengiringi calon parti itu bersama ribuan penyokong ke pusat penamaan calon itu.
Turut mengiringi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Pesuruhjaya PAS Melaka, Abdul Ghani Abdul Rahman dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Sebaik tempoh pencalonan ditutup, borang-borang pencalonan dipamerkan di papan kenyataan berhadapan pusat penamaan itu untuk semakan umum.

Tempoh bantahan dibuka selama sejam dan tamat pada jam 11 pagi.
Pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 56, pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.
Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti undi 2,154.-Bernama


Mayat rakan tercampak 500 meter dari kereta
KUANTAN: “Saya tidak mampu menggagahkan diri dan berjalan ke arah arwah selepas tercampak keluar dari kereta,” kata Wan Zulkanain Wan Abdullah, 21, rakan mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan, dekat Bukit Rangin, di sini, petang kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa, Sabri Che Saadon, 26, dari Kampung Pandan, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Difahamkan, Sabri yang bekerja sebagai pemandu lori memandu Proton Saga turut tercampak keluar sebelum mayatnya ditemui kira-kira 500 meter dari kereta.
Menceritakan semula kejadian itu, Wan Zulkanain berkata, dia yang berada di kerusi penumpang depan terkejut selepas kereta dinaiki dilanggar sebuah kereta BMW yang datang dari belakang ketika menghala Indera Mahkota dari Kampung Pandan.
Menurutnya, akibat rempuhan itu, kereta dinaikinya terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung Toyota Innova dan bergesel pula dengan sebuah lori membawa bahan kimia.
Katanya, kereta dinaikinya itu kemudian bergesel dengan sebuah Proton Wira sebelum dia bersama mangsa tercampak keluar.
“Selepas terjatuh di permukaan jalan, saya tidak mampu berdiri kerana tidak dapat menahan kesakitan sebelum dibantu orang awam yang mengangkat dan meletakkan saya di atas pembahagi jalan.


“Saya tidak dapat lihat arwah kerana dia tercampak terlalu jauh dan kejadian berlaku terlalu pantas,” katanya yang berasal dari Kampung Kubang Bemben, Jertih, Terengganu dan menuntut di Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), dekat Semambu, di sini.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, dia bersama arwah dalam perjalanan ke Indera Mahkota dari Kampung Pandan dan sepanjang perjalanan arwah tidak banyak bercakap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata susulan kejadian terbabit, polis sudah mengambil keterangan empat pemandu dan seorang rakan mangsa yang selamat bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, ketika kejadian cuaca baik serta permukaan jalan kering.
Katanya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment