Mati imamkan solat | Lagak alim kucing | BN Merlimau | Parah angkara babi

Mati imamkan solat
RAWANG: Seorang pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Temasya Rimba Templer, Rawang, di sini, rebah ketika mengimamkan solat Zuhur di surau kem berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.45 tengah hari dan sejurus Syed Abdul Rahman Wan Ahmad, 17, rebah, dia dibantu rakan-rakannya mendapat rawatan di klinik kem berkenaan.
Remaja itu yang berasal dari Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah, diberi bantuan pernafasan (CPR), namun keadaannya yang kritikal menyebabkan pihak kem menghantarnya ke Hospital Selayang sebelum dia disahkan meninggal dunia.
Jenazah Syed Abdul Rahman dihantar ke Hospital Kuala Lumpur pagi semalam untuk dibedah siasat dan polis mengesahkan kematian remaja itu tidak membabitkan unsur jenayah, sebaliknya disebabkan serangan sawan.

Bapa Allahyarham, Wan Ahmad Wan Yasin, 50, ketika dihubungi berkata, dia menerima berita kematian anaknya daripada pengurusan kem berkenaan kira-kira jam 2.45 petang kelmarin dan tiba di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Wan Ahmad, dia berbual dengan anaknya ketika menghubunginya untuk bertanya khabar, Ahad lalu.
“Dalam perbualan itu anak saya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, malah memberitahu gembira tinggal di kem berkenaan. Anak saya juga memberitahu dia sihat dan ramai kawan baru serta selesa berada di kem itu.

“Namun, saya tidak menyangka keceriaannya itu hanya sementara kerana kini dia meninggalkan kami,” katanya.
Wan Ahmad berkata, ketika berbual dengan Syed Abdul Rahman, Ahad lalu, dia berpesan kepada anaknya supaya menjaga diri, jangan lupa solat serta selalu berdoa.

“Setakat ini, saya belum dimaklumkan punca kematian anak saya. Saya cuma diberitahu anak saya menjadi imam solat Zuhur, namun tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata mangsa yang berasal dari Sabah menjalani latihan di kem berkenaan sejak 2 Januari lalu dan akan tamat pada 13 Mac depan.

Menurutnya, mangsa yang pengsan dihantar ke Hospital Selayang, namun gagal diselamatkan sebelum mayatnya dibawa ke HKL untuk bedah siasat.

“Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia kerana sawan,” katanya.
Abdul Rahim berkata, keluarga mangsa sudah menuntut jenazah Syed Abdul Rahman yang dijadual dikebumikan di kampung neneknya di Kampung Masjid Sebuyau, Kota Samarahan, Sarawak, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata berdasarkan rekod, Allahyarham pernah menerima rawatan sekali akibat batuk di kem itu.

Katanya, setakat ini, pihaknya menunggu laporan penuh bedah siasat pelatih terbabit yang dijangka siap dalam dua minggu.
“Berikutan itu, keluarga pelatih berkenaan layak menerima khairat kematian RM5,000 dan insurans nyawa RM50,000,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan JLKN meminta mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu sehingga laporan lengkap mengenai kematian pelatih berkenaan diketahui.


Lagak alim kucing
DUNGUN: “Saya tidak sangka lelaki berkopiah yang memandu kereta itu geng penyamun,” kata Norlaila Sulong, 32, selepas disamun seorang daripada sekumpulan empat lelaki di Kampung Gong Pasir dekat sini, kelmarin.

Kejadian jam 1.15 tengah hari itu membabitkan kerugian wang tunai berjumlah RM43,500 milik syarikat Norlaila bekerja yang disimpan di dalam beg tangannya.
Norlaila berkata, dia diarah majikannya mengambil wang itu di sebuah bank di bandar ini untuk membayar gaji pekerja dan selesai membuat urusan pengeluaran wang berkenaan pada jam 12.45 tengah hari.

“Saya sepatutnya segera balik ke pejabat, tapi membatalkan hasrat itu lalu ke sekolah untuk menjemput anak,” katanya.

Menurutnya, ketika memasuki lorong ke rumah ibunya di Kampung Gong Pasir bagi menghantar anaknya yang berusia sembilan tahun, dia berselisih dengan seorang lelaki yang berjalan kaki.

“Sebaik anak saya keluar dan menutup pintu kereta, lelaki yang berselisih tadi dengan pantas membuka kembali pintu sebelah penumpang dan bertanya di mana saya letak duit sambil mengancam mahu membunuh saya,” katanya.

Katanya, lelaki tidak bersenjata itu merampas beg tangan yang diletak di bawah kerusi depan sebelah pemandu dan berlaku tarik-menarik antara dia dengan suspek.
“Enjin kereta ketika itu masih hidup dan akibat pergelutan itu kereta bergerak ke hadapan dan terlanggar pagar rumah ibu menyebabkan saya terlepas pegangan tali beg tangan,” katanya.

Norlaila berkata, lelaki terbabit berlari sambil membawa beg tangan itu menuju ke sebuah motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang rakannya tidak jauh dari rumah ibunya.
“Tidak jauh dari motosikal itu, ada sebuah kereta Proton Wira dinaiki dua lelaki dengan pemandunya memakai kopiah. Saya menjerit meminta tolong dengan harapan mereka akan membantu.

“Namun saya tidak sangka kedua-dua lelaki dalam kereta itu sebenarnya rakan penyamun terbabit kerana sebaik saya meminta tolong, pemandu kereta itu memecut kenderaannya mengiringi motosikal itu melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.
Beliau menasihatkan orang ramai yang membuat urusan pengeluaran wang yang banyak di bank supaya mendapatkan pengiring bagi mengelak kejadian sama berulang.

'Rezeki saya'
JASIN: “Sudah rezeki, saya memang tidak menduga akan diumum sebagai calon selepas 23 tahun terbabit dalam politik,” kata, Roslan Ahmad, 44, calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada 6 Mac depan.

Roslan atau lebih mesra sebagai ‘Ron’ di kalangan penduduk setempat dan ahli keluarga kelihatan gementar ketika berucap di hadapan ribuan penyokong BN kerana hanya mengetahui dirinya dipilih selepas diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Gerakan BN di sini, petang semalam.

Roslan yang juga anak jati Merlimau, berkata kepercayaan yang diberi pucuk pimpinan dengan memilihnya sebagai calon akan digunakan sebaik mungkin bagi menabur bakti kepada masyarakat setempat selaras dengan agenda transformasi yang dibawa BN.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada pucuk pimpinan atas kepercayaan yang diberi untuk menjadi calon di Merlimau. Saya mengharapkan kerjasama daripada semua penyokong dan jentera BN serta calon lain yang tidak terpilih untuk memberi kejayaan kepada BN dalam pilihan raya kecil kali ini.

“Baki lapan hari yang ada akan digunakan sepenuhnya untuk berjumpa dengan setiap pengundi di DUN berkenaan kerana ia adalah pendekatan terbaik dan saranan yang sering dibuat Perdana Menteri kepada semua pemimpin untuk turun padang bagi mendekati rakyat,” katanya.

Beliau yang juga anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Datuk Ahmad Ithnin, bekerja sebagai Pengurus Pembangunan Bisnes dan Sosioekonomi Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd.

Roslan yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jasin berkata, jika diberi mandat sebagai wakil rakyat di DUN Merlimau, beliau berazam menjadikan Merlimau sebagai hab pendidikan daerah Jasin.

“Saya berazam melaksanakan semua tanggungjawab dan agenda pembangunan sedia ada dan akan datang. Langkah pertama melihat semula agenda pembangunan yang dirancang kerajaan negeri Melaka di DUN Merlimau.

“Kita akan pastikan perancangan dan pelaksanaan DUN Merlimau dilakukan segera kerana kawasan ini mempunyai potensi besar untuk membangun dengan dibantu kewujudan institusi pengajian tinggi dan kawasan industri sekitar,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Zalifah Omar, 38, berkata pemilihan Roslan sebagai calon dalam pilihan raya kecil DUN Merlimau tidak diduga ahli keluarga.

“Syukur minat beliau dalam politik sejak selepas bangku sekolah akhirnya terbalas hari ini. Kami sekeluarga sudah biasa dengan gaya hidupnya yang aktif dengan politik dan saya sebagai isteri tidak menghalang bahkan akan sentiasa menyokongnya dari belakang,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan berikutan kematian bekas Adun Merlimau, Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan selepas mengalami serangan jantung pada 20 Januari lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan Sabtu ini untuk penamaan calon, dan pengundian pada 6 Mac depan.

2 parah angkara babi lintas lebuh raya
ALOR GAJAH: “Dalam keadaan samar-samar, saya nampak objek tercampak ke tengah lebuh raya lalu menekan brek sebelum mengelak ke kiri jalan,” kata pemandu treler yang terbabit kemalangan di Kilometer 209, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, di sini, malam kelmarin.

Pemandu itu, Ah Pang, 53, berkata dia mengelak daripada melanggar mangsa dan dua kenderaan yang melintangi jalan, namun treler dipandunya dilanggar sebuah Toyota Camry dari belakang.

“Ketika berada kira-kira 50 meter dari lokasi, saya nampak dua kereta terbabit kemalangan dan pada masa sama melihat ada orang tercampak dari kenderaan.

“Saya menekan brek dan berjaya mengelak daripada melanggar mangsa, tetapi apabila melihat melalui cermin sisi, ada sebuah kereta di belakang turut berpusing dan terbabas selepas melanggar bahagian belakang sebelah kiri treler saya,” katanya yang ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 9 malam berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh itu dipercayai berlaku selepas pemandu Proton Wira Aeroback dikenali sebagai Zulfakar Hamsun, 26, melanggar seekor babi hutan yang tiba-tiba melintas jalan.

Berikutan rempuhan itu, kenderaan berkenaan gagal dikawal dan berpusing beberapa kali sebelum tersadai di tepi lebuh raya. Pada masa sama, sebuah Toyota Altis melanggar bahagian depan kereta dipandu Zulfakar menyebabkan enjin Proton Wira Aeroback itu tercampak ke kiri jalan.

Zulfakar dan pemandu Toyota Altis iaitu seorang warga Myanmar berusia 20-an yang parah dikejarkan ke hospital untuk rawatan. Dua lagi mangsa menaiki Toyota Camry cedera ringan.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Tan Chia Hau, 27, berkata, pada mulanya dia menyangka kerja baik pulih jalan sedang dilakukan kerana dua kereta melintang tengah lebuh raya, namun tiada lampu amaran dipasang sebelum menyedari ia kemalangan.

“Ketika kira-kira 20 meter dari tempat kejadian, saya yang duduk di sebelah penumpang Toyota Camry dipandu rakan, Lee Chi Hong, 24, menyedari berlaku kemalangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment